Thursday, June 15, 2017

Pendidikan vernakular







oleh Mohamad Amirul Hafizi Rusli


Tajuk artikel yang saya pilih dan ingin ulaskan ialah berkenaan pendidikan vernakular di Malaysia. Berdasarkan sejarah, Tanah Melayu telah pun mempunyai sitem pendidikan yang tersendiri iaitu melalui pendidikan tidak formal. Namun begitu, setelah kedatangan British, mereka memperkenalkan sistem pendidikan vernakular iaitu sistem pendidikan yang berasaskan kaum dan menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.

Sistem pendidikan yang wujud pada masa pemerintahan British mempunyai empat sistem persekolahan utama iaitu sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, sekolah vernakular Tamil dan sekolah Inggeris. Setelah merdeka, kerajaan telah memperkenalkan sekolah kebangsaan yang bertujuan untuk menggabungkan seluruh bangsa ke dalam satu sekolah agar perpaduan kaum dapat dicapai. Namun begitu, sistem vernakular ini tetap diteruskan dengan kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Sistem pendidikan vernakular mempunyai kelebihan dan keburukannya yang tersendiri. Antara kebaikannya ialah, pelajar mendapat peluang menguasai banyak bahasa. Sebagai contoh, pelajar Melayu yang bersekolah di Sekolah Pendidikan Cina dapat menguasai sekurang-kurangnya dua Bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina. Ini akan memberikan kelebihan kepada pelajar tersebut di masa hadapan apabila memasuki alam pekerjaan. Selain itu, ia juga dapat memperkasakan bahasa ibunda kepada penuturnya dan mengelakkan ianya daripada ditelan zaman.

Keburukan pendidikan vernakular pula ialah, ia akan mewujudkan jurang perkauman yang luas di antara kaum. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun, masih ada lagi segelintir kumpulan dari setiap kaum yang bersifat rasis disebabkan perpaduan kaum tidak dapat dicapai. Manakan tidak, dari mereka kecil lagi sudah dikelaskan mengikut kaum.

Malah ada juga segelintir individu yang masih tidak fasih berbahasa Kebangsaan walaupun telah mencapai umur dewasa. Hal ini disebabkan penggunaan bahasa ibunda yang berbeza-beza di sekolah pendidikan mengikut kaum masing-masing manakala bahasa kebangsaan disisihkan. Setiap kaum selesa bergaul dalam bahasa ibunda masing-masing menyebabkan timbulnya rasa kekok apabila bergaul dengan kaum lain kerana terpaksa bertutur dalam bahasa lain.

Bahasa yang berbeza ini jugalah kadang-kadang menimbulkan syak wasangka diantara kaum sehingga menyebabkan pergaduhan. Setiap kaum di Malaysia ini sepatutnya disatukan sejak dari kecil lagi agar persefahaman diantara kaum itu dapat dipupuk di awal usia. Apabila setiap kaum saling memahami antara satu sama lain, ianya akan menjadikan negara berada dalam suasana yang aman dan harmoni.

Pada pandangan saya, pendidikan vernakular ini mempunyai lebih keburukan berbanding kebaikan. Kerajaan perlu mengkaji semula sistem ini dan lebih baik untuk menutup sekolah jenis kebangsaan dan menyatukan semua kaum di dalam sekolah kebangsaan. Hak kesamarataan juga perlu diberikan kepada semua kaum agar keadilan dapat dirasai. Untuk mencapai perpaduan kaum, pendidikan merupakan salah satu cara yang terbaik. Bukankah pendidikan merupakan proses utama dalam membentuk kendiri untuk mencapai kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna?

Kesimpulannya, proses penyatuan dalam sistem pendidikan di Malaysia telah bermula semenjak zaman sebelum merdeka, namun agak sukar untuk direalisasikan. Penyatuan dalam bidang ini akan tercapai sekiranya setiap komuniti etnik memahami sejarah asal di Tanah Melayu dan perkembangan pendidikan di negara ini. Oleh yang demikian, setiap pelusuk masyarakat perlulah menjadi warganegara yang prihatin dalam menangani isu ini. Sebarang perbincangan perlulah diadakan bagi mengelakkan salah faham yang boleh membawa kepada isu perpaduan yang lebih besar.


No comments:

Post a Comment