Monday, April 24, 2017

3 tips mudah untuk berubah







Perubahan ke arah matlamat hidup atau apa sahaja matlamat yang hendak dicapai dalam hidup perlu mengubah banyak perkara yang ada dalam diri kita. Namun sesetengah orang sangat sukar hendak memulakan perubahan biar pun kecil. Oleh kerana memikirkan terlalu banyak yang hendak dibuat tatkala hendak berubah, timbul dalam pemikiran ayat-ayat racun seperti ‘banyak sangat ni...buat esok sajalah’.

Khabar baik untuk orang yang berasa sukar hendak berubah adalah perkataan yang digunakan sehari-hari boleh diubah dengan serta-merta. Contohnya, ada orang yang kerap berkata ‘susah’, ‘tak boleh’ dan ‘nantilah’.

Jika kita lihat, perkataan-perkataan beracun ini mampu diubah. Susah boleh ditukar kepada senang, tak boleh ditukar kepada boleh dan nantilah ditukar kepada sekarang. Sikap orang yang cemerlang ialah memilih perkataan-perkataan yang mengujakan dan memberi aura positif dalam tindakannya.

Pilihannya berada di tangan sendiri. Jika kita berasa hidup ini terlalu sukar, gunakan perkataan ‘senang’ dalam menghuraikan kesukaran tersebut.

Andai kata saya memberi anda dua minit untuk bercakap mengenai topik yang anda minat, saya boleh menilai berapa banyak perkataan positif atau negatif yang digunakan. Sepatutnya perkataan positif lebih menyerlah.

Contohnya begini. Seorang rakan kita menceritakan tentang cara menulis artikel. Beliau pun memberi inputnya yang bertajuk menulis artikel seperti berikut.

Pertama, setkan apa yang hendak ditulis.
Kedua, tajuk yang hendak ditulis selari dengan bidang kepakaran kita.
Ketiga, sediakan bahan-bahan rujukan yang perlu.
Keempat, mencetak hasil penulisan awal.
Kelima, susun dan tulis senarai yang hendak dibuat.
Keenam, membuat penambahbaikan dengan menaip di komputer.

Sekiranya lebih banyak perkataan positif yang diungkapkan, ia bermakna rakan kita tadi seorang yang dinamik.

Di sini, tugas yang sangat mudah ialah menukar perkataan negatif kepada positif. Apa sahaja perkataan atau ayat negatif ini mempunyai tenaga yang menarik kita untuk melaksanakannya. Ada orang yang bangun pagi setiap hari sering mengadu sakit di sana sini. Ada kaki yang sakit, kepala yang sakit dan hati yang sakit.

Jadi, untuk menukar perkataan yang negatif ini kepada positif, gantikan ‘sakit’ kepada ‘astaghfirullah’ atau perkataan lain yang positif. Sekurang-kurangnya kita mendapat pahala kerana beristighfar.

Keadaan begini berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa atau agama.

Kita juga harus tahu bahawa mengubah perkataan dapat mengubah penampilan luaran kita. Sebaliknya pula pun boleh berlaku.

Contohnya kursus motivasi. Motivasi yang diterima biasanya kekal dalam seminggu dua, selepas itu kita kembali kepada asal kerana banyak perkataan yang digunakan telah meracun minda.

Justeru, berwaspadalah dengan perkataan yang dikeluarkan kerana ia berupaya memberi kesan kepada diri sendiri dan orang lain yang mendengar.

Selain daripada menukar perkataan, perubahan juga boleh dibuat dengan cara mengawal pernafasan. Caranya ialah menggunakan kiraan empat ketika menarik nafas, tujuh ketika menahan nafas dan lapan ketika mengeluarkan nafas. Tarik nafas sedalam-dalamnya dan keluarkan nafas tersebut umpama itik nila bertempik iaitu mengeluarkan nafas sehabis-habisnya.

Waktu terbaik untuk latihan nafas ialah selepas solat subuh dan isyak.

Pernafasan amat penting kepada organ-organ dalam tubuh badan kita kerana mereka perlukan oksigen untuk bekerja. Oksigen memberi tenaga kepada perkembangan organ khususnya otak kita lebih-lebih bagi mereka yang belajar dan bekerja dalam yang melibatkan fikiran.

Antara tips penting dalam pernafasan ialah niat menarik tenaga-tenaga positif yang berada di sekitar tempat pernafasan. Semasa melepaskan nafas, kita bayangkan semua elemen penyakit (boleh dibayangkan dalam bentuk warna hitam) dikeluarkan dan terus halakan warna hitam tersebut ke arah bulan atau sesuatu yang sangat jauh dari kita.

Cara ini boleh dilakukan untuk penyakit fizikal atau emosi. Sekurang-kurangnya ada cara untuk mengurangkan kesakitan, memberi harapan positif kepada tahap kesihatan dan menjadikan diri kita lebih bersemangat hendak keluar daripada masa sukar.

Aura positif dan baik ini turut melimpah kepada orang yang berada di sekitar kita.

Kedudukan badan juga mempengaruhi perubahan diri.

Caranya ialah dengan mengangkat kedua-dua tangan selama dua minit, boleh dalam pelbagai posisi. Mengangkat tangan selama dua minit ini akan merembeskan beberapa jenis enzim seperti testostreron yang memberi keyakinan diri.

Pelari pecut dunia, Usin Bolt mempraktikkan cara ini dan ia memberi impak yang sangat ketara kepada persembahannya. Bolt berasa lebih yakin dan bersedia untuk memecut meninggalkan saingnya.

Cara lain ialah meletakkan kedua-dua tangan di pinggang, berpeluk tubuh atau menggenggam kedua-kedua penumbuk sambil menggoyang-goyang ke sana sini.

Kaedah ini tidak perlukan kedudukan badan yang berlebih-lebihan, cukup yang mudah sahaja. Biarlah ia sesuai dengan keadaan kita kerana jika dibuat setiap hari walaupun sedikit ia bakal menjadi tabiat yang berpanjangan.

Menukar perkataan, membaiki cara bernafas dan mengubah kedudukan badan bakal menjadikan kita seorang yang hebat dan cemerlang.

Mulakan hari ini dan kita akan dapat merasai perubahannya serta-merta.



No comments:

Post a Comment