Sunday, February 26, 2017

Butang baju Melayu







Dari Jaya Trading saya ke kedai TenTen dan Tunas Manja untuk mencari butang baju Melayu. Setiap kali saya bertanya jurujual wanita di ketiga-tiga kedai ini, semuanya memberitahu jawapan yang sama iaitu tidak ada.

Ten Ten dan Tunas Manja adalah kedai pakaian dan gedung membeli-belah di Tanjung Lumpur, Kuantan. Namun kedua-duanya tidak menjual butang baju Melayu.

Mencari butang baju Melayu di kawasan itu amat mencabar. Sepanjang laluan ke Kuantan, saya tidak perasaan butik pakaian kerana tidak biasa dengan kawasan itu, barangkali butang baju Melayu terdapat di bandar Kuantan.

Saya berehat sebentar di sebuah restoran untuk membasahkan tekak. Ketika minum, saya melihat seorang jurual yang berpakaian kurta sedang berjalan sambil memegang buah-buah tasbih untuk dijual kepada pelanggan restoran. Saya mengangkat tangan kanan dengan harapan beliau dapat melihat saya.

Sebaik sahaja memandang saya, beliau terus bergerak ke arah saya. Lalu saya bertanya adakah dia menjual butang baju Melayu. Jawapannya tidak. Saya ucapkan terima kasih dan beliau berlalu pergi.

Saya mengandaikan butang baju Melayu tidak dijual di kedai-kedai kawasan itu kerana bukan musim perayaan dan tidak ada keperluan untuk menjualnya. 

Apabila semua ikhtiar dan harapan telah selesai, saya berharap akan berlaku keajaiban di tempat penginapan saya.

Pembelajaran yang saya dapat ialah pastikan baju Melayu yang hendak dibawa disematkan butangnya sekali, jika tidak tentulah sukar untuk berjumpa butang baju Melayu.

Di akhir pengalaman ini, saya diberitahu ada butang baju Melayu yang dimasukkan ke dalam beg sandang, itu pun berlainan bentuk dan hanya tiga biji.


Saturday, February 25, 2017

Siasatan polis bakal dedah dalang pembunuhan







Syabas dan tahniah kepada pasukan polis, pegawai perubatan dan agensi-agensi yang terlibat dalam menyelesaikan kes pembunuhan Kim Jong-nam yang disyaki diracun ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) baru-baru ini. Kejayaan ini sedikit demi sedikit menguak misteri kematian dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan pasukan penyiasat memuktamadkan kes ini.

Kelantangan duta besar Korea Utara membuat pelbagai tohmahan dan tuduhan terhadap pasukan penyiasat dan kerajaan Malaysia telah dapat dipatahkan apabila pendedahan polis menunjukkan terdapat kecenderungan kes berkenaan telah dirancang dan dikatakan ada kaitan dengan ejen Korea Utara.

Antara pendedahan ini adalah penggunaan bahan radioaktif VX sebagai bahan pembunuh, merekrut wanita sebagai ejen pembunuhan, membuat latihan agresif kaedah membunuh di beberapa tempat dan mengenal pasti beberapa orang warganegara Korea Utara yang telah melarikan diri semasa hari kejadian.

Seterusnya kehadiran seorang ejen negara itu yang bekerja di sebuah syarikat di Cheras tanpa menerima gaji dan tidak datang bekerja tetapi mempunyai keluarga di Jalan Kuchai Lama. Lelaki ini menimbulkan banyak persoalan khususnya tentang bagaimana beliau membayar sewa rumah dan membiayai keluarga serta pengajian anaknya di universiti swasta negara ini.

Penglibatan seorang kakitangan kedutaan Korea Utara menambah syak terhadap penglibatan rejim negara itu bagi memastikan sasaran terbunuh.

Kita sedar pasukan polis bertungkus lumus melengkap siasatan mereka kerana kes ini telah menarik tumpuan banyak pihak di peringkat antarabangsa. Seperti yang ditegaskan Timbalan Ketua Polis Negara bahawa pihak polis tidak berminat mencampuri urusan politik Korea Utara tetapi sangat berminat untuk mengetahui kenapa pembunuhan itu dilakukan di Malaysia dan bagaimana pembunuhan itu dilakukan supaya suspek  dan dalang dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Justeru, ulasan duta besar Korea Utara terhadap polis dan kerajaan Malaysia tidak dapat diterima. Syak wasangka beliau terhadap keupayaan agensi penyiasat hanya menunjukkan sikap prasangka dan memandang rendah semua tindakan yang dilakukan setakat ini untuk merungkai komplot pembunuhan itu. Kenyataan perdana menteri Malaysia bahawa duta besar Korea Utara bersikap biadap dalam hubungan diplomatik adalah refleksi kerajaan Malaysia terhadap tindak-tanduk negara itu dalam menyelesaikan kes berkenaan.

Episod pembunuhan Kim Jong-nam tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat seperti dikehendaki duta besar Korea Utara. Sebaliknya perlu dibuat secara profesional dan teliti kerana ia merupakan kes jenayah. Agak aneh apabila pihak kedutaan begitu inginkan mayat mangsa tetapi tidak peduli nasib dua orang ejen pembunuh dari Vietnam dan Indonesia.

Malaysia wajar mengambil pendekatan tegas dan mengingatkan Korea Utara bahawa negara ini bukannya tempat untuk membunuh musuh politik mereka. Di samping itu, pembongkaran komplot pembunuhan ini dapat meningkatkan imej pasukan penyiasat Malaysia dalam menyelesaikan kes berprofil tinggi. Pada masa yang sama memberi mesej kepada mana-mana negara dan sesiapa sahaja yang mahu menjadikan negara ini sebagai tempat kancah percaturan kuasa.



Monday, February 20, 2017

Pembunuhan Jong-nam rosakkan hubungan bernegara







Polis Diraja Malaysia telah mengumumkan sembilan individu yang terlibat dalam pembunuhan pemimpin buangan Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu. Kosmo Online (20 Feb 2017) melaporkan suspek ini ialah Doan Thi Huong, Siti Aishah, Muhammad Farid, Ri Jong-chol, Ri Ji-hyon, Hong Song-hac, O Jong-gil, Ri Jae-nam dam Ri Ji-u. Sidang media yang di Bukit Aman baru-baru ini mengesahkan empat individu telah meninggalkan negara ini pada hari pembunuhan. 

Keempat-empatnya menggunakan laluan Jakarta-Dubai-Vladivostok-Pyongyang bagi mengelirukan pihak berkuasa Malaysia.

Pembunuh dari Vietnam dan Indonesia adalah wanita yang dikatakan direkrut oleh Korea Utara. Kini, ahli keluarga kedua-dua wanita ini mula dicari supaya pengesahan maklumat dapat dilakukan. Siti Aishah, dari Serang, Banten, Indonesia merupakan anak ketiga. Keluarganya tidak percaya penglibatan Aishah dan pembunuhan itu. Yusuf Kalla juga mengecam dalang yang menggunakan Aishah sebagai ejen pembunuhan.

The Star (20 Feb 2017) melaporkan suspek dari Korea Utara, Ri Jong-chol, merupakan pelajar perubatan dari sebuah universiti di negara itu dan bekerja di India selama sepuluh tahun. Di Malaysia, Jong-chol bekerja di Tombo Enterprise Sdn Bhd, syarikat yang membuat makanan tambahan anti kanser di Cheras. Produk berkenaan adalah "Tian Xian Liquid" yang mengandungi  ginseng, cacing rumput (cordyceps) dan cendawan lingzhi.

Perdana Menteri Korea Selatan Hwang Kyo-ahn menyifatkan rejim Korea Utara sanggup melakukan keganasan untuk berkuasa. Beliau menyatakan demikian dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan Korea Selatan yang mengenal pasti Korea Utara adalah dalang di sebalik pembunuhan Jong-nam, anak lelaki sulung bekas pemimpin negara itu, Kim Jong II. "Pembunuhan ini dilakukan di kawasam awam lapangan antarabangsa di negara ketiga tidak dapat dimaafkan dan merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan serta jelas sekali mencerminkan perbuatan melulu dan kejam oleh rejim Korea Utara yang tidak peduli sesiapa sahaja apabila hendak mengekalkan kuasa".

Penglibatan warganegara Vietnam dan Indonesia dalam kes ini merumitkan hubungan diplomatik negara-negara berkenaan dengan Korea Utara. Apatah lagi Malaysia yang menjadi tempat pembunuhan, hubungan kedua-dua negara yang baik sebelum ini pasti bertukar. Kenyataan keras duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol berkaitan autopsi ke atas mayat Jong-nam yang menyelar Malaysia menyembunyikan sesuatu dan mendakwa Malaysia berpakat dengan kuasa-kuasa luar dan musuh Korea Utara. Pagi ini beliau dipanggil ke Wisma Putra kerana dikatakan cuba menjejaskan imej Malaysia. Kenyataan itu menyebut, "The Malaysian Government takes very seriously any unfounded attempt to tarnish its reputation."

Mayat Kim Jong-nam masih berada di Institut Perubatan Forensik, Kuala Lumpur sementara menunggu waris memberi sampel DNA. Dalam pada itu, kedutaan Korea Utara tidak mahu autopsi dijalankan dan mahu menuntut mayat berkenaan. Walau bagaimanapun pihak polis masih menyiasat kes ini sebagai kes bunuh dan mereka tidak berminat dengan krisis politik Korea Utara sebaliknya mahu mahu menyiasat kenapa suspek yang dikaitkan dengan Kim Jong-nam melakukan nejayah di Malaysia.

Korea Utara merupakan negara miskin yang diperintah oleh dinasti rejim kuku besi yang akan memusnahkan sesiapa sahaja yang cuba mengganggu pentadbirannya.

Saturday, February 18, 2017

Konvoi berbasikal malam boleh diatasi







Kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian lapan orang penunggang basikal amat menyedihkan. Ia menjadi perhatian kerana masa kejadian adalah waktu dinihari yang sepatutnya semua mangsa berada di rumah bersama keluarga.

Apakah yang sebenarnya berlaku kepada keluarga mangsa-mangsa berkenaan?

Soalan ini patut diberi perhatian kerana ia ada sangkut-paut dengan tanggungjawab keluarga memastikan keselamatan anak-anak. Amat menyedihkan apabila keluarga sendiri kurang memberi perhatian terhadap gerak-geri anak-anak di luar rumah untuk bergaya dengan basikal pada malam hari.

Kemalangan jalan raya, kecederaan parah, langgar lari, penculikan atau ditawarkan sebagai ahli sindiket kongsi gelap adalah antara gejala membiarkan anak-anak tanpa pengawasan ibu bapa atau keluarga. Banyak kes yang melibatkan kecuaian ibu bapa berakhir dengan kematian atau kecederaan. Ada anak-anak hilang ketika ibu bapa leka membeli-belah dan ada anak-anak yang dilanggar lari apabila bermain di hadapan rumah tanpa pengawasan.

Menyelesaikan isu kanak-kanak berbasikal pada malam hari di jalan-jalan raya perlukan tindakan tiga penjuru. Pertama, ibu bapa sendiri yang menyedari tanggungjawab mereka memastikan anak-anak berada di rumah pada waktu malam. Mereka juga perlu bertegas dengan pelbagai alasan anak-anak yang mahu keluar rumah ini kerana memang menjadi kemahuan anak-anak untuk berseronok dengan rakan-rakan.

Kedua, pasukan polis wajar menjadikan kanak-kanak berbasikal di jalan raya sebagai sebahagian daripada tugas pemantauan supaya wujud kegerunan kepada mana-mana kanak-kanak untuk menjauhi aktiviti berbasikal seperti itu. Jika boleh, ibu bapa kanak-kanak yang terlibat dipanggil ke balai polis untuk diberi amaran.

Ketiga, masyarakat berperanan membantu kanak-kanak yang berbasikal malam ini menghentikan aktiviti mereka dan pulang ke rumah. Di kawasan taman perumahan hari ini terdapat Rukun Tetangga yang boleh memantau aktiviti itu di kawasan mereka.

Kita harus sedar bahawa kanak-kanak yang melilau dengan basikal pada sebelah malam sedang berhadapan dengan masalah. Lebih baik kita mengkaji masalah tersebut dan mengemukakan kaedah penyelesaian berbanding menyalahkan sesama sendiri. Kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa ini wajar dijadikan iktibar supaya tidak ada kanak-kanak yang bakal menjadi mangsa. Langkah-langkah pembetulan dan kempen kesedaran tanggungjawab boleh menjadi program intervensi terbaik bagi mencegah aktiviti yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya ini.