Tuesday, November 22, 2016

Persepsi masyarakat terhadap Rukun Tetangga: satu tinjauan di Melaka








Zainudin MZ, Amir Ashraf Abdul Razak, Tan Qi Wen, Izzat Nadzmi Yahaya, Abdul Hadi Kechik, Muhammad Ammer Syahiran Mohd Rasit


1.0 Pengenalan

Skim Rukun Tetangga (SRT) telah diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan peraturan-peraturan perlu (Rukun Tetangga) 1975. Tujuan adalah untuk menjaga keselamatan masyarakat daripada pelbagai masalah kesan kejadian 13 Mei 1969, seperti ancaman anasir-anasir komunis, huru-hara selepas peristiwa pembunuhan Ketua Polis Negara dan pengeboman Tugu Negara. Program Rukun Tetangga bertanggungjawab menjaga keselamatan dan juga memupuk perpaduan kaum.

Pada peringkat awal, Rukun Tetangga ada tiga kategori  iaitu  Kawasan Aman, Sektor Pendaftaran dan Sektor Keselamatan. Kawasan Aman mempunyai tugas seperti  menjalankan aktiviti mengharmonikan penduduk di kawasan berkenaan. Sektor Pendaftaran pula mempunyai sedikit masalah dari aspek keselamatan manakala warganegara yang berumur 15 tahun ke atas wajib mendaftar sebagai ahli Rukun Tetangga dan semua penghuni di kawasan tertentu hendaklah melaporkan diri dan jika berlaku perpindahan individu perlu melaporkan diri. Hal ini sama  kepada mereka yang baru pindah masuk. Sektor Keselamatan pula adalah kawasan dianggap paling serius dalam aspek keselamatan. Rondaan setiap malam diwajibkan mengikut giliran. Pada tahun 1982, SRT juga menjalankan kaji selidik dan beberapa perubahan dilakukan. Pada 1 Januari 1983, kerajaan perkenalkan konsep kejiranan dengan falsafah bagi kesejahteraan kawasan kejiranan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara.

Peranan SRT tidak lagi tertumpu pada aspek keselamatan malah pada aspek jenayah, masalah sosial, isu-isu perkauman dan sebagainya, membantu pembangunan komuniti ke arah menjamin perpaduan dalam kalangan rakyat supaya terus berkekalan. Pada tahun 1970-1990, SRT ada perubahan yang drastik, proses urbanisasi hebat berlaku di seluruh negara. Perpindahan masyarakat dari luar bandar ke bandar  telah meningkatkan tekanan kepadatan penduduk dari segi kaum, aktiviti dan gaya hidup. Satu wadah yang penting untuk mewujudkan integrasi nasional dalam suasana harmoni, selamat dan sejahtera di seluruh negara.

Pada tahun 2000, peranan SRT diperluaskan dengan moto pembangunan komuniti untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan hidup masyarakat dan negara. Hal ini menyebabkan SRT meningkatkan aktiviti selain rondaan seperti pendidikan, rekreasi, sukan, sosial, alam sekitar dan lain-lain. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan, integrasi nasional dapat dipupuk. Akibatnya, bilangan rukun tetangga semakin meningkat. Aktiviti ini membolehkan masyarakat mengenali sesamasendiri, tolong-menolong menghadapi masalah, berinteraksi dan hubungan baik antara pemimpin dan masyarakat yang terdiri daripada perlbagai etnik, kaum, adat dan budaya.

Terdapat aktiviti lain seperti menyambut perayaan utama, sukaneka, sukan 1Malaysia, rekreasi seperti kembara, perkhemahan, pendidikan seperti tuisyen, ceramah, kesihatan seperti ceramah, gotong-royong, kempen anti denggi/dadah, kebajikan. Selain itu, aktiviti lain seperti melawat rumah orang tua/kurang upaya (kerja amal), agama (ceramah keagamaan), kesenian (pertunjukkan pesta 1Malaysia), ekonomi dan rondaan.

2.0 Sorotan Kajian

Menurut kajian Prof. Dr. Mohd Taib Hj. Dora, Kolej Universiti Teknologi Kebangsaan Malaysia yang telah mengkaji tahap pengetahuan, persepsi dan penerimaan orang awam terhadap program-program yang dianjurkan dan dilaksanakan oleh Rukun Tetangga. Kajian ini dilakukan di beberapa daerah dipilih dalam negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kajian ini merangkumi program-program dan aktiviti-aktiviti berkaitan sosial, pendidikan, sukan dan rekreasi, kesihatan dan alam sekitar, kebajikan, kesenian dan kebudayaan, ekonomi dan keselamatan awam. Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan, persepsi dan penerimaan orang terhadap pelbagai program dan aktiviti yang di anjur dan dilaksanakan oleh Rukun Tetangga secara umumnya adalah tinggi. Ini memberi petunjuk bahawa Rukun Tetangga dalam banyak situasi telah agak berjaya dalam menganjur dan memupuk perpaduan nasional dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Munurut kajian oleh Omar Mohamad (1979), beliau telah mengkaji fungsi dan peranan Rukun Tetangga di Kampung Kasipillay, Sentul, Kuala Lumpur. Hasil kajian telah mendapati tiga masalah utama antaranya penglibatan penduduk dalam aktiviti yang dijalankan oleh Rukun Tetangga. Hal ini kerana penduduk masih mempunyai sifat lepas tangan dalam menjalankan tanggungjawab. Selain itu, masalah juga berpunca daripada ahli jawatankuasa Rukun Tetangga sendiri yang didapati kurang usaha dalam mendekati penduduk apabila mempunyai aktiviti kemasyarakatan.

Hasil kajian oleh Tan Min Nee (1999) yang dilakukan di Kampung Sembulan Lama, Sabah yang mengkaji reaksi penduduk terhadap Skim Rukun Tetangga mendapat reaksi positif daripada penduduk. Akan tetapi terdapat juga beberapa masalah yang dihadapi seperti penggunaan masa lapang, minat, hubungan sosial dan sebaran maklumat. Hasil daripada kajian mendapati kurangnya kesedaran tentang kebaikan Skim Rukun Tetangga mengakibatkan aktiviti yang dianjurkan oleh Skim Rukun Tetangga kurang mendapat sambutan.


3.0 MetodologI Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif di samping menemubual dua responden yang berlainan bangsa iaitu Melayu dan Cina untuk mengetahui pendapat mereka mengenai permasalahan yang dibincangkan. Di samping itu, borang soal selidik yang merangkumi bahagian A, bahagian B dan C telah diberi kepada responden dan dikumpul balik untuk membuat kajian. Microsoft Office digunakan untuk membuat analisis setiap soalan.

3.1 Sampel Kajian

Kajian ini di jalankan di sekitar Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Jumlah responden ialah seramai 35 orang. Responden kami terdiri daripada pelajar- pelajar sekolah yang berumur lingkungan 19 tahun hingga 30 tahun.

3.2 Instrumen Kajian

Soal selidik dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian A, B dan C. Bahagian A mengandungi lima soalan yang merangkumi latar belakang responden dan maklumat umum mengenai tajuk kajian. Bahagian B mengandungi enam soalan berdasarkan kefahaman responden terhadap Rukun Tetangga. Bahagain C mengandungi lima soalan berdasarkan peranan dan kerelevanan Rukun Tetangga dalam masyarakat.


4.0 Hasil Kajian

Soalan pertama adalah tentang maksud Rukun Tetangga. Daripada 35 orang jumlah responden, seramai 27 orang yang tahu akan maksud Rukun Tetangga manakala yang selebihnya tidak tahu tentang Rukun Tetangga. Soalan 2 pula menanyakan tentang kewujudan Rukun Tetangga di kawasan masing-masing. 27 orang dari responden yang mempunyai organisasi Rukun Tetangga di kawasan perumahan mereka. Soalan 3 berkisar tentang fungsi Rukun Tetangga di bawah jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional(JPNIN). Hanya 13 orang sahaja yang tahu tentang fungsi ini. Soalan seterusnya adalah tentang perantaraan Rukun Tetangga bagi membantu menyelesaikan masalah masyarakat setempat. Seramai 26 orang setuju dengan penyataan soalan 4. Soalan 5 adalah tentang persetujuan masyarakat setempat akan penubuhan Rukun Tetangga. Soalan yang terakhir adalah penyertaan sukarela dalam Rukun Tetangga. Seramai 31 orang yang bersetuju untuk menyertainya secara sukarela. 

Soalan bahagian B berkisar tentang peranan Rukun Tetangga dalam masyarakat. Soalan pertama adalah tentang faedah Rukun Tetangga dalam menyemarakkan nilai integriti nasional dalam masyarakat. Soalan 2 adalah tentang keberkesanan Rukun Tetangga dalam mencegah jenayah. Seramai 27 orang yang bersetuju daripada jumlah 35 orang responden. Soalan 3 adalah tentang Rukun Tetangga membantu masyarakat mengenali aktiviti yang boleh mencergaskan fizikal dan mental dalam masa yang sama wujud perpaduan   dan   keharmonian. Seramai 30 orang responden bersetuju dengan kenyataan ini. Soalan 4 adalah adakah aktiviti Rukun Tetangga dapat merapatkan hubungan antara jiran. Seramai 27 orang yang bersetuju tentang kenyataan ini manakala selebihnya kurang dan tidak bersetuju.

5.0 Kesimpulan

Daripada hasil kajian ini, dapat disimpulkan bahawa responden faham dan sedar  akan latar belakang dan konsep penubuhan Rukun Tetangga. Ianya sejajar dengan dengan objektif penubuhan Rukun Tetangga yang kedua iaitu untuk memupuk perpaduan kaum di negara kita.. Hal ini menunjukan bahawa gagasan yang dijunjung oleh Rukun Tetangga untuk menyatupadukan masyarakat di negara ini telah berjaya.


Rujukan

Kamus Dewan. (1994). Kuala Kumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Omar Mohamad. (1979). Fungsi dan peranan Rukun Tetangga.
Tan Min Nee. (1999). Jurnal Perpaduan di Sabah.
Latar belakang rukun tetangga. Jabatan perpaduan dan integrasi nasional, http://www.jpninselangor.gov.my/v1/rt_bg
http://ms.wikipedia.org/wiki/Rukun_Tetangga

1 comment:

  1. nak tanya dari buku atau sumber apakah dapat mencari sejarah rukun tetangga yang dinyatakan di pengenalan.

    ReplyDelete