Monday, November 21, 2016

Peranan institusi pengajian tinggi dalam memupuk perpaduan etnik di Malaysia







Zainudin MZ, Clement Lo Chee Neng, Pong Zong Yang, Mohd Faris Azizan, Mohd Wazira Zafran Razak, Mohamad Faris Imadi Che Hashim


1.0 Pengenalan

Malaysia sememangnya terkenal dengan keharmonian penduduk berbilang kaum yang hidup aman dan damai. Kaum yang terdapat di Malaysia ialah Melayu, Cina, India dan 27 etnik lagi di kawasan Sabah serta Sarawak. Dengan penduduk yang pelbagai budaya ini, perpaduan etnik atau sebaliknya sentiasa menjadi agenda dalam pengurusan masyarakat dan pemerintahan negara ini. Oleh kerana wujudnya kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dalam kalangan rakyat di negara ini, maka timbulah pelbagai masalah yang melibatkan hubungan etnik. Boleh dikatakan bahawa perkauman akan sentiasa menjadi batas pemisah antara rakyat pelbagai kaum. Keadaan ini seterusnya boleh melahirkan ketegangan dan konflik antara kaum dan seterusnya boleh menyebabkan berlakunya pertumpahan darah.

Berdasarkan kepada peristiwa 13 Mei, beberapa perkara penting yang perlu dipandang serius dalam membina nagara bangsa yang bersatu padu. Dalam hal ini, ternyata faktor hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan politik. Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Perpaduan dan integrasi merupakan dua konsep yang berkait rapat dan digunakan bersilih-ganti. Namun demikian, perpaduan dan integrasi merujuk kepada dua proses yang berbeza. Perpaduan ialah satu keadaan dimana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Manakala integrasi nasional merupakan satu proses dinamik yang merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam masyarakat bagi membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya yang tersendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Justeru itu, Institusi Penganjian Tinggi (IPT) merupakan satu cara atau tempat yang amat strategik dalam memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar pada peringkat akar umbi. Hal ini kerana, kebanyakan pelajar yang ada di Malaysia sama ada Universiti Awam (UA) atau Universiti Swasta (US) terdiri daripada pelbagai bangsa, agama serta warna kulit yang berbeza. Jadi, perpaduan kaum di kampus wajar diberi perhatian. Berdasarkan laporan Jabatan Perpaduan Negara (2003), polarisasi kaum terutama dalam kalangan generasi muda semakin serius. Bahkan interaksi kaum dalam kalangan golongan mahasiswa kini berada pada tahap minimum walaupun seolah-olah wujud perpaduan dalam kalangan mereka dari segi luarannya. Lantaran itu, pihak universiti dengan kerjasama mahasiswa wajar memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga kampus. Dasar pendidikan dan program tertentu perlu dirangka untuk menyemai elemen-elemen positif yang berkaitan dengan keharmonian dan perpaduan pada peringkat IPT ini.

1.1 Objektif Kajian

Terdapat empat objektif kajian ini iaitu:

1. Mengetahui peranan IPT dalam memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar.
2. Mengetahui faktor-faktor yang mengukuhkan perpaduan di IPT.
3. Mencadangkan langkah-langkah untuk mengukuhkan perpaduan kaum di peringkat IPT.
4. Mengenal pasti tahap keselesaan dalam menjalin hubungan antara kaum di kampus.


2.0 Sorotan Kajian

Hubungan etnik dan perpaduan merupakan isu yang penting dalam pembinaan negara yang berbilang etnik. Di Malaysia, selain daripada tiga etnik yang utama iaitu Melayu, Cina dan India, terdapat juga etnik seperti Kadazandusun, Bajau, Iban, Bidayuh dan sebagainya. Kepelbagaian ini memerlukan perpaduan antara etnik supaya semua etnik ini dapat hidup bersama dan berusaha memajukan negara tanpa perasaan syak wasangka dan tidak selamat.

Berdekad lalu, banyak usaha yang telah dilakukan untuk merapatkan hubungan etnik seperti memperkenalkan kursus-kursus yang memberi fokus kepada pembelajaran dan pemahaman budaya yang berlainan di peringkat IPT untuk menimbulkan perasaan menghargai dan kefahaman dalam kalangan pelajar IPT kepada budaya yang berbeza di sekeliling mereka. Usaha ini dilakukan dengan pengenalan kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di peringkat nasional. Kursus Hubungan Etnik yang diperkenalkan sejak tahun 2006 di pusat pengajian tinggi juga merupakan satu usaha untuk menangani masalah hubungan etnik yang sering menjadi isu dalam pembangunan negara. Hal ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada konsep-konsep hubungan etnik, malah pelajar diberikan peluang untuk melakukan aktiviti bersama untuk membolehkan kefahaman yang lebih mendalam bagaimana masyarakat pelbagai etnik dapat bekerjasama dan berinteraksi.

Kajian-kajian yang merangkumi pelbagai dimensi persoalan hubungan etnik dan perpaduan kaum dilakukan kebanyakannya oleh pensyarah dan juga pelajar sarjana dan doktor falsafah. Terdapat juga penyelidik dari universiti-universiti lain yang menjalankan penyelidikan dalam tema yang sama termasuk universiti-universiti baru. Secara umum, kajian-kajian dalam bidang ini boleh dianalisis menurut dua kategori iaitu hubungan antara etnik yang merupakan satu faktor yang penting dalam pembangunan sosial serta pembinaan negara dan kajian yang bersifat dalaman sesuatu etnik, contohnya kajian tentang ritual, budaya atau kelakuan etnik itu secara khusus tetapi isinya mempunyai pengajaran untuk pembangunan sosial.

Kajian-kajian mengenai hubungan etnik dan integrasi nasional menunjukkan kepelbagaian tema yang menarik dan penting. Antaranya termasuklah perpaduan dalam kalangan pelajar, toleransi agama, pendidikan, bahasa, kebudayaan dan cara hidup, sosioekonomi serta peranan media dalam menjaga dan memupuk hubungan etnik.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga merupakan usaha kerajaan untuk menerapkan perpaduan dan patriotik dalam kalangan remaja. Mereka yang menjalani program ini akan terlibat dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan fizikal, mental, pembinaan karektor, kemasyarakatan dan kenegaraan. Walapun pada masa permulaan program ini diperkenalkan, ia mendapat reaksi dan kritikan daripada orang ramai mengenai segi pengurusannya, tetapi kini ia diakui oleh pelbagai pihak akan keberkesanannya dalam membentuk sikap positif dalam kalangan remaja pelbagai kaum terhadap diri, keluarga, masyarakat dan juga negara. Mereka yang menjalani program ini juga berpeluang mengeratkan hubungan mereka dengan peserta dari kaum lain akibat penglibatan semua peserta dalam akitiviti kerjasama dan berkumpulan. Penemuan seperti ini terdapat dalam kajian Zaliha Hussin (2005) bertajuk “Kajian Tinjauan Mengenai Kaedah Pengurusan dan Pengendalian Program Khidmat Negara”.

Kajian tentang tahap hubungan etnik dan perpaduan dalam kalangan pelajar diteruskan lagi di peringkat pengajian tinggi. Kajian Nga Lay Hui @ Janice Nga (2005) bertajuk “Integrasi Antara Kaum dalam Kalangan Penuntut-penuntut di Institusi Pengajian Tinggi” mengkaji corak pergaulan dan integrasi dalam kalangan pelajar supaya fahaman etnosentrik dan kelemahan yang dikesan dapat diminimumkan manakala perpaduan sebenar dapat dipergiat dan diteruskan. Kajian ini meneliti bagaimana perbezaan ras dan kekurangan akibatnya dapat dikurangkan bagi mengelakkan isu perkauman yang mungkin akan mengancam kestabilan sosial, ekonomi dan politik untuk mendorong pembinaan bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana golongan pelajar ini merupakan bakal pemimpin negara dan akan melangkah masuk golongan kelas menengah pada masa hadapan. Sekiranya tahap hubungan etnik dan perpaduan memuaskan di peringkat ini, maka akan wujud satu masyarakat Malaysia yang harmoni dan berperibadi tinggi pada masa hadapan, begitu juga sebaliknya.

Kajian yang dilakukan oleh Fatimah Daud (2002) bertajuk “Polarasi Kaum dalam Kalangan Pelajar-pelajar Universiti” pula memberi tumpuan kepada hubungan etnik dan polarisasi kaum dalam kalangan pelajar-pelajar di universiti. Kajian ini dilakukan untuk melihat sejauh mana golongan pelajar ini bergaul dan berinteraksi dalam sebuah komuniti kampus dan adakah hal ini mempengaruhi cara pergaulan dan interaksi mereka dengan struktur masyarakat luar yang lebih kompleks. Kajian ini mendapati program yang melibatkan aktiviti bersama, pertukaran program budaya, meningkatkan tahap kefasihan bahasa, dan pemahaman antara agama dapat meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara pelajar pelbagai kaum.

Menarik diketahui bahawa untuk meningkatkan integrasi antara kaum dan etnik, faktor penguasaan bahasa memainkan peranan yang memang penting. Bahasa sudah lama memainkan peranan sebagai satu wadah yang dapat mengeratkan integrasi dan hubungan. Kefahaman dan kefasihan bahasa yang tinggi akan memudahkan komunikasi dan seterusnya dapat memupuk perpaduan dan integrasi. Kedudukan Bahasa Malaysia sabagai bahasa kebangsaan mendorong ke arah ini. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa kaum lain dapat membantu perpaduan.


3.0 Metodologi Kajian

Kaedah penyelidikan menggunakan soal selidik yang mengandungi tiga bahagian dan 15 soalan serta mengedarkan borang soal selidik kepada 30 pelajar di UTeM. Kriteria pemilihan responden adalah berdasarkan pelajar berlainan bangsa.

Responden terdiri daripada 17 lelaki dan 13 perempuan. Antaranya terdapat 11 pelajar Melayu, 13 pelajar Cina dan 6 pelajar India. Secara purata, umur responden ialah 21.17 tahun. Mereka terdiri daripada pelajar UTeM pelbagai kursus.


4.0 Hasil Kajian

Kebanyakan pelajar bersetuju dengan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam memupuk hubungan renik. Peranan IPT seperti mewajibkan pelajar berbilang kaum tinggal di asrama dan Majlis Perwakilan Pelajar terdiri daripada pelajar pelbagai kaum serta menjaga kepentingan dan kebajikan pelajar pelbagai kaum mendapat 80 peratus persetujuan daripada responden. Manakala memperkenalkan subjek Hubungan Etnik sebagai mata pelajaran wajib dan mengadakan karnival mendapat persetujuan yang paling rendah daripada pelajar iaitu 19 daripada 30 responden.

Bahagian B membincangkan faktor-faktor yang mengukuhkan perpaduan pelajar di peringkat IPT. Responden diminta untuk memberi markah dari 1 hingga 5 mengikuti skala yang berikut, 1 untuk sangat tidak setuju dan 5 untuk sangat setuju. Terdapat lima faktor yang dibincangkan iaitu semua pelajar mempunyai kurikulum yang sama, pelajar menggunakan bahasa pengantaraan yang sama, aktiviti/sukan/kelab yang melibatkan pelajar pelbagai kaum, Program Minggu Haluan Siswa dan Program Penasihat Akademik membantu mengeratkan hubungan pelajar serta subjek-subjek pelajaran mendedahkan pelajar kepada budaya dan agama yang berlainan. Antara lima pilihan ini, faktor yang paling berkesan ialah aktiviti/sukan/kelab yang melibatkan pelajar pelbagai kaum, dengan markah purata 4.27. Skor ini menunjukkan bahawa pilihan ini mendapat persetujuan yang banyak antara pelajar.

Seterusnya ialah pelajar mempunyai kurikulum yang sama, dengan markah purata 4.267. Pilihan yang paling kurang dipersetujui ialah Program Minggu Haluan Siswa dan Program Penasihat Akademik membantu mengeratkan hubungan pelajar, dengan markah purata 3.87. Skor ini menunjukkan bahawa pelajar merasakan kedua-dua program ini menunjukkan kesan baik terhadap perpaduan pelajar di peringkat IPT, tetapi tidak cukup ketara kesannya.

4.1 Kurikulum yang Sama

Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara (modal insan). Antara kurikulum yang sama dan terdapat di kebanyakan universiti ialah Falsafah Sains dan Teknologi, Hubungan Etnik serta Tamadun Islam dan Tamadun Asia.

4.2 Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Pengantar Utama

Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini.

Terdapat empat cadangan yang dikemukakan iaitu memperkenalkan program yang melibatkan penyertaan pelajar dari pelbagai kaum serta menggalakkan pengenalan budaya antara pelajar, mendorong pergaulan sesama pelajar dalam kelas, (perbincangan, kerja berkumpulan), mengadakan jamuan makan bersama serta membuat persembahan agar  dapat memahami budaya pelajar kaum lain dan mencadangkan kesamarataan dalam jawatan kuasa kepimpinan pelajar. Selain daripada cadangan yang dikemukakan, terdapat juga pelajar yang mencadangkan agar IPT dapat membuat sambutan perayaan agar pelajar dari pelbagai kaum dapat meraikan perayaan bersama-sama serta lebih memahami budaya kaum lain. Mereka juga mencadangkan agar pensyarah dapat membahagikan pelajar kepada kumpulan belajar yang mengandungi pelajar dari pelbagai kaum untuk mengukuhkan perpaduan kaum.


5.0 Kesimpulan

Terdapat banyak aspek yang mempengaruhi perpaduan kaum dalam kalangan pelajar seperti pembelajaran, pergaulan antara pelajar, sambutan perayaan di IPT dan sebagainya. Aspek-aspek ini bukan sahaja mengenai pelajar-pelajar di UTeM, tetapi juga merangkumi semua warga UTeM dan masyarakat Malaysia supaya semua rakyat dapat bersatu padu, bekerjasama untuk merealisasikan perpaduan antara kaum.

Pelajar-pelajar di peringkat IPT pada hari ini pada suatu hari nanti akan menjadi pemimpin-pemimpin negara. Oleh itu, perpaduan kaum harus diterapkan di dalam hati setiap pelajar IPT supaya mereka dapat bekerjasama dengan seluruh etnik di Malaysia demi kemajuan dan pembangunan Malaysia bak kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Selari dengan itu, pelajar yang mempunyai semangat perpaduan jika menjadi pemimpin negara, akan dapat membina sebuah negara yang aman damai, harmoni dan makmur.

Secara kesimpulannya, melalui kajian didapati bahawa kebanyakan responden UTeM merasakan bahawa IPT merupakan satu batu loncatan untuk membantu mengukuhkan perpaduan kaum di kalangan pelajar. Justeru itu, IPT boleh meneruskan usaha sebegini untuk menguatkan semangat perpaduan pelajar dan juga pengajar di samping memberikan pengetahuan tahap profesional kepada pelajar.


Rujukan

Fang Xin Er. “Bekerjasama Pemangkin Perpaduan”, Dewan Siswa, April 2009.
Mohd. Salleh Lebar. (1998). Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan. Selangor:  Thinker’s Library Sdn. Bhd.
https://www.scribd.com/doc/51705948/cara-mewujudkan-perpaduan-kaum
https://www.scribd.com/doc/33177261/Usaha-Memupuk-Perpaduan-Kaum
https://www.scribd.com/doc/56114569/perpaduan-melalui-pendidikan
https://www.scribd.com/doc/55521610/Dasar-Pendidikan-Dalam-Mencapai-Perpaduan
http://www.sinarharian.com.my/hubungan-etnik-perlu-dijadikan-subjek-wajib-di-sekolah-1.89188 (Sathia Murthy 27 September 2012).
http://zahirzainudin.blogspot.my/2014/05/integrasi-etnik-di-ipta.html
http://tujuhpen.blogspot.my/2015/04/maksud-hubungan-etnik.html          

No comments:

Post a Comment