Tuesday, June 17, 2014

Kepelbagaian seni bina dan struktur bangunan bersejarah di Melaka







1.0 Pengenalan

Perkembangan seni bina di Tanah Melayu sejak berkurun-kurun lamanya kaya dengan warisan unsur-unsur ketimuran dan kebaratan. Selepas seni bina vernakular berlalu, lahir pula seni bina yang mempunyai ciri-ciri kebaratan. Seni bina jenis ini lahir dalam zaman penjajah. Zaman penjajah ini telah didatangi oleh kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris sejak dari kurun ke-15. Kaum pedagang yang turut serta kemudiannya dari negeri China, membawa bersama idea-idea seni bina rumah kedai dan rumah berderet.

Bentuk binaan yang telah melalui evolusi, memaparkan bangunan seni bina Cina, Melayu dan Eropah. Ini menjadikan satu bentuk identiti seni bina yang dikenali sebagai 'Straits Electic Style' yang tersebar luas dalam kalangan negeri selat. Negeri-negeri yang dikenali dengan nama negeri selat seperti Melaka, Pulau Pinang dan Perak. Negeri-negeri yang mewarisi bangunan-bangunan yang bercirikan seni bina zaman penjajah atau seni bina kolonial. Seni bina kolonial ini pula berbeza antara negeri-negeri selat berikutan pengaruh kuasa yang memerintah. Misalnya negeri Melaka mengadunkan pengaruh-pengaruh Portugis, Belanda dan Inggeris.

1.1 Latar Belakang Kajian


Kajian ini bergantung kepada seni bina kolonial. Seni bina kolonial yang dilahirkan oleh penjajah Inggeris ini dipadankan pada bangunan-bangunan besar yang berfungsi sebagai bangunan kerajaan, pentadbiran, perdagangan, institusi. Ia merupakan usaha dalam suasana yang mirip pada keadaan negeri asal pengenalan kepada idea-idea seni bina dan penyebaran sosiobudaya masyarakat Eropah. Pada asasnya seni bina kolonial Inggeris dikenali sebagai ciri-ciri 'klasikal'.

Namun ianya sendiri adalah merupakan hasil dari pergolakkan gaya seni bina (architectural style) yang berlaku di benua Eropah. Ketika mana seni bina kolonial wujud di tanah-tanah jajahannya di mana England sendiri berada di antara era gaya seni bina lewat. Gaya seni binanya menitikberatkan pengadunan ciri-ciri berserta elemen-elemen klasikal seperti tiang, area (arch), dan pediment dalam melahirkan bangunan-bangunan yang indah dan menawan. Bangunan-bangunan awal dibina berdasarkan perancangan simitrikal berbentuk ‘monumental' yang menandakan konsep seni bina Greek dan Roman seperti mana yang diilhamkan oleh jurubina Itali, Andrea Palladio (1518-1588).

1.2 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui dengan lebih lanjut sejarah dan kesan sejarah terhadap seni bina di Melaka, mengenal pasti asal usul seni bina, mengetahui usaha-usaha mengekalkan seni bina bangunan bersejarah, melihat hubungan di antara sejarah dan seni bina dan bagaimana pengaruh politik mempengaruhi seni bina pada zamannya.

1.3 Kepentingan Kajian

Bangunan-bangunan rumah kedai lama yang terdapat di kawasan–kawasan di atas adalah begitu penting untuk dikaji dan hasil kajian adalah amat berguna bagi tujuan pemeliharaan. Bangunan-bangunan rumah kedai lama ini lama kelamaan akan pupus dan digantikan dengan rumah-rumah kedai baru. Oleh itu mendalami, mengkaji dan mendokumentasikan tipologi bangunan-bangunan ini adalah satu bentuk pemeliharaan kerana bangunan-bangunan lama ini tidak mungkin dapat dibina lagi sekarang disebabkan oleh kaedah pembinaan yang berbeza. Peranan dokumentasi di dalam kerja pemeliharaan seperti yang dijalankan ini adalah sangat penting kerana daripada dokumentasilah sesebuah bangunan itu dapat dipulihkan dan dipelihara.

Dokumentasi tipologi yang dihasilkan adalah penting dan perlu ada dalam simpanan pihak penguasa tempatan. Hasil kajian pula akan dapat membantu pihak bertanggungjawab dalam membentuk polisi dan kawalan pembangunan seterusnya memantau usaha pengekalan bangunan-bangunan lama. Bangunan-bangunan rumah kedai di Melaka mempunyai sifat-sifat yang boleh menarik pelancong datang untuk menikmati keunikan ini. Melaka juga mempunyai tarikan budaya yang boleh dilihat secara langsung pada seni binanya seperti pengaruh Portugis, Belanda, Cina, India dan Melayu.

Di dalam proses perubahan corak seni bina di negara kita, banyak nilai seni bina tradisi yang telah kita lupakan. Seni bina masjid sekarang ini banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai seni bina dari luar. Seni bina masjid tradisional Melaka juga akan tenggelam di dalam arus permodenan sekarang ini. Seharusnya kita menyedari akan hakikat ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengekalkan identiti seni bina Islam tradisional di negara kita ini.


2.0 Sorotan Kajian

Kaedah seni bina adalah satu kajian yang amat luas kerana terdapat banyak seni bina yang terdapat di negeri Melaka. Perkembangan seni bina di Tanah Melayu sejak berkurun lamanya, kaya dengan warisan unsur-unsur ketimuran dan kebaratan. Selepas seni bina vernakular berlalu, lahir pula seni bina yang mempunyai ciri-ciri kebaratan, seni bina jenis ini lahir dalam zaman penjajah. Zaman penjajah ini telah didatangi oleh kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris sejak dari kurun ke-15 lagi.

Ramai para ilmuan tempatan mahupun luar negara telah pun membuat tinjauan dan kajian mengenai seni bina yang terdapat di negeri Melaka. Mereka menjalankan kajian itu kerana berasa kagum dengan keunikan sejarah seni bina yang terdapat di negeri ini. Terdapat pelajar Universiti Teknologi Mara, jurusan seni bina iaitu kumpulan Hafizah dari UiTM Seri Iskandar, Perak yang telah membuat kajian terperinci tentang seni bina bangunan di negeri Melaka yang mempunyai keunikan tersendiri kerana gabungan seni bina yang datang dari penjajah-penjajah dahulu. Kajian ilmuan luar negara iaitu Tatiana Denisova juga telah mengkaji tentang keunikan seni bina negeri Melaka.

Beliau mengkaji tentang sejarah lama negeri Melaka dan sejarah seni bina yang terdapat di negeri itu. Hasil kajian beliau telah menyatakan bahawa seni bina bangunan Melaka datang dari kaum pedagang yang turut serta terutamanya dari Negara China, membawa bersama idea-idea seni bina rumah kedai dan rumah berderetan. Bentuk binaan yang telah melalui evolusi, memaparkan adunan seni bina Cina, Melayu dan Eropah.


3.0 Metodologi Kajian

3.1 Kajian reka bentuk yang dilakukan terhadap seni bina sejarah ini ialah:


Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan

Seni bina bagi bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dibuka dengan rasminya oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1985. Ia terletak di Bandar Melaka dan berhampiran dengan kesan sejarah yang lain seperti A Famosa dan replika istana Kesultanan Melaka. Bangunan ini dibina pada tahun 1911, sebelum ini bangunan ini dikenali sebagai sebagai Kelab Melaka. Setelah merdeka, kelab ini dibuka kepada orang ramai. Kemudian pada 31 Ogos 1985 bangunan ini dijadikan memorial yang memuatkan segala dokumen tentang kemerdekaan.

Keseluruhan reka bentuk bangunan ini adalah merupakan unsur tempatan dan Eropah. Unsur ini boleh dilihat dengan adanya dua buah kubah yang terletak di atas bangunan dan ianya sama dengan bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Bangunan ini diperbuat menggunakan bahan binaan kayu tempatan, dinding menggunakan bahan konkrit yang tebal dan tangga yang dibina adalah berdekatan dengan pintu masuk menggunakan bahan binaan kayu.

Sehingga kini bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan ini kukuh dan ciri-cirinya sebagai bangunan warisan dikekalkan, kerja-kerja pengubahsuian yang telah dilakukan iaitu pada 14 dan 15 disember 1993 untuk memelihara bangunan ini supaya ia tahan lama dan nilai estetika serta ciri-ciri sebagai bangunan bersejarah atau warisan dikekalkan oleh Kerajaan Negeri dan Jabatan Akrib Negara, Melaka.

Antara kerja-kerja pemuliharaan yang dijalankan ialah:

· mengecat dinding bangunan.
· menukar panel dan showcase sedia ada kepada reka bentuk yang lebih praktikal dengan bahan yang dipamerkan.
· memasang siling gantung di beberapa ruang tertentu.
· mewujubkan kaunter cenderamata di luar bangunan.
· mewujubkan beberapa buah diaroma di ruang-ruang utama.
· menyediakan beberapa computer sesentuh di beberapa ruang.
· menyediakan corong suara (P.A) untuk suara latar di ruang tertentu.
· menyediakan sistem ‘Barco’ di dalam bilik threterette untuk menayangkan kandungan ringkas pameran di dalam tempoh yang singkat (12 minit).
· lantai kayu diletakkan permaidani.
· menggantikan atap zink yang bocor dan bangunan ini telah dilengkapkan dengan pengdingin hawa untuk keselesaan pelawat.
· bangunan ini juga dilengkapkan dengan keselamatan kebakaran dan sistem anti pencerobohan untuk keselamatan bahan-bahan sejarah.

Konsep dan objektif reka bentuk pameran:

· disesuaikan dengan garis persembahan dan keperluan yang telah diberi.
· menjalinkan konsep binaan keseluruhan ruang termasuk kabinet, panel dan showcase agar bersesuaian suasana dengan kandungan bahan-bahan yang telah dipamerkan.
· menyediakan peragaan dan atur bahan yang sesuai dengan sesuatu suasana yang diinginkan.
· menyediakan reka bentuk dan rupa bentuk serta penyudahan bergaya yang memberikan satu pandangan menarik dan mengindahkan sesuatu ruang pameran.
· menyediakan teknik pemasangan dan pembekalan lampu yang bersesuaian.

Diorama menunjukkan upacara menandatangani pada 8 Februari 1956 London yang melibatkan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu Y.T.M Tunku Abdul Rahman mewakili kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan setiausaha kerajaan negeri-negeri jajahan British, Alan Lennox Boyd sebagai wakil Kerajaan British.

3.1.2 Kereta Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra

Kereta jenis Chevrolet bernombor BE 52 ini telah dibeli pada tahun 1957 dan digunakan semasa sambutan kemerdekaan di Kuala Lumpur. Kereta ini telah digunakan untuk membawa tetamu kehormatan semasa perayaan tersebut. Warna asal kereta ini ialah putih. Semasa pilihanraya 1959 kereta ini telah digunakan oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra untuk menjalankan kempen pilihan raya dan selepas itu kereta ini digunakan oleh kerajaan persekutuan untuk membawa tetamu kehormat kerajaan.

3.1.3 Kota A Famosa

Kota A Famosa bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis. A Famosa telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka da Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia. Kota A Famosa mengambil masa selama lima bulan untuk dibina. Pembinaan kota A Famosa dijalankan atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu. A Famosa dibina bertujuan untuk dijadikan kubu pertahanan Melaka. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan lima gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya.

Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.
Pihak Belanda membaiki dan mengubah suai dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran "Anno 1670". Kota A Famosa dilengkapi dengan empat menara atau ketelom (bastion) dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo dan Baluerte de Santiago. Ia juga dilindungi dengan tujuh puluh meriam di semua arah. Kegunaan dahulu dan sekarang. Pada zaman dahulu bangunan ini digunakan untuk mempertahankan Melaka. Kini ia dijadikan kawasan tarikan pelancong domestik mahupun antarabangsa. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu.

3.1.4 Bangunan Stadthuys

Stadthuys ialah sebuah binaan bersejarah yang terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka. Stuktur Bangunan Stadthuys yang serba merah ini melambangkan seni reka bentuk Belanda yang unik dan dilengkapi dengan sebuah menara jam. Stadthuys dikenali sebagai dewan perbandaran di mana bangunan pertama dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor. Bangunan tersebut dipercayai merupakan bangunan Belanda yang tertua di Timur serta merupakan satu contoh seni bina Belanda yang terbaik ketika itu. Kini ia telah dijadikan Muzium Sejarah dan Etnografi yang memaparkan cara hidup masyarakat di Melaka seperti Melayu, Cina, India, Portugis, Baba dan Nyonya, Ceti dan Chitty.

Bangunan bersejarah ini merupakan kaedah yang terbaik dalam memberi maklumat kepada masyarakat mengenai peristiwa yang telah berlaku pada bangunan tersebut. Oleh itu, untuk memastikan sesebuah bangunan warisan terus digunakan, bangunan tersebut haruslah diselenggara dan dijaga dengan baik. Jika tidak ia mungkin akan rosak secara semula jadi dan akhirnya akan menyebabkan ia roboh. Ditambah pula dengan kurangnya kesedaran masyarakat tentang nilai warisan menyebabkan mereka lebih mengagungkan bangunan baru yang berorientasikan kemodenan dengan meminggirkan bangunan warisan yang ada.

3.1.5 Istana Kesultanan Melayu Melaka

Replika istana dibina pada tahun 1984 dan dijadikan sebagai muzium budaya apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 17 julai 1986. Keseluruhan bangunan ini diperbuat daripada kayu keras manakala atapnya dari kepingan kayu belian. Pembinaannya bercirikan seni pertukangan rumah melayu Melaka di mana sendi bangunan diperkuatkan dengan pasak sahaja. Terdapat banyak seni bina bangunan yang terdapat di Melaka. Ini dapat dilihat dengan jelas kerana terdapatnya contoh seni bina bangunan di dalam replika istana kesultanan Melaka. Reka bentuknya adalah lebih kurang sama dengan apa yang kita lihat pada seni bina yang terdapat di negeri Melaka. Contohnya adalah seni bina Istana Ampang Tinggi, Istana Seri Menanti, Istana Sultan Abu Bakar dan Istana Satu.

3.1.6 Istana Ampang Tinggi

Istana yang diperbuat daripada kayu ini terdiri daripada beberapa panel berukir halus tanpa menggunakan paku. Istana ini telah dibina di atas permatang yang menghala ke sawah oleh Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-5 iaitu Tengku Ulin dikenali sebagai Yamtuan Imam. Bangunan ini berukuran 66 ½ kaki panjang dan 23 ½ kaki lebar. Apabila siap sepenuhnya, Yamtuan telah menghadiahkan kepada Cindai apabila berkahwin dengan Tengku Muda Chik anak kepada Yamtuan ke-4 iaitu Yamtuan Radin. Bangunan ini terletak kira-kira enam batu daripada Bandar Seri Menanti. Pada tahun 1953, Yamtuan ke-8, Tuanku Abdul Rahman memberi kebenaran supaya bangunan lama yang tidak beratap ini dibuka dan dipindahkan ke Seremban. Pada tahun 1980, bangunan ini telah dipindahkan ke mini muzium yang terletak di Negeri Sembilan.

3.1.7 Istana Seri Menanti

Istana Lama Seri Menanti adalah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Istana ini dibina pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908. Istana yang dirasmikan oleh Yang DiPertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah mempunyai empat tigkat. Pelan asalnya direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Woodford dari Jabatan Kerja Raya, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Bangunan ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri sepanjang 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak. Pasak kayu keras digunakan bagi menyambungkan papan. Atap istana ini mewakili tanduk kerbau. Tanduk kerbau dianggap sebagai lambang keamanan.

3.1.8 Istana Sultan Abu Bakar

Istana ini telah dirasmikan pada tahun 1880. Diberi nama sempena dengan nama Al-Marhum Sultan Abu Bakar. Dibina bagi menggantikan Istana Permai. Kedudukannya berhampiran dengan tapak Istana Seri Terentang. Reka bentuk bercirikan moden dan direka oleh arkitek berbangsa Cina. Secara amnya, struktur binaan Bagunan Sultan Abu Bakar ini menggabungkan dua sistem binaan iaitu sistem dinding tanggung beban dan sistem tiang dan alang.

Bangunan ini juga terdapat dua jenis struktur bumbung iaitu bumbung curam dan bumbung rata. Ianya juga terdapat dua jenis tangga iaitu tangga batu dan tangga kayu. Istana ini dilengkapi dengan perabot yang diimport dari Barat dan koleksi artifak yang diperolehi baginda sendiri. Istana ini pernah menjadi tempat kediaman Residen British yang pertama pada tahun 1929. Sewaktu perang dunia Kedua, bangunan ini telah digunakan sebagai ibu pejabat Angkatan Tentera Jepun.

3.1.9 Istana Satu

Istana Satu merupakan seni bina tradisional Melayu yang dipanggil Rumah Tiang Dua Belas. Istana ini dibina oleh Sultan Zainal Abidin lll, Sultan Terengganu pada tahun 1884 di perkarangan Istana Maziah, Kuala Terengganu, Terengganu. Bangunan daripada kayu cengal ini mempunyai seni bina yang berunsurkan rumah Melayu tradisional Terengganu iaitu “Rumah Terengganu Tiang Dua Belas”. Pembinaannya dilakukan tanpa menggunakan paku besi, sebaliknya menggunakan pasak sepenuhnya. Istana Satu yang dipamerkan ini adalah merupakan sebahagian dari bangunan istana yang lengkap, dimana sebahagian lagi diletakkan di Muzium Terengganu.

3.2 Reka Bentuk Kajian

Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah bersifat gabungan kualitatif dan kuantitatif melalui kajian tentang seni bina bangunan bersejarah di Melaka. Responden terdiri daripada pelajar-pelajar UTeM.

3.3 Kerangka Konsep

Sebelum melaksanakan kajian pengkaji membuat perancangan yang rapi untuk memastikan kajian dapat dijalankan dengan lancar dan teratur. Langkah-langkah yang sistematik telah dirancang sebagai panduan di sepanjang pelaksanaan kajian.

Pengkaji mengenal pasti seni bina bangunan yang hendak dikaji, mendapatkan maklumat dengan melawati bangunan bersejarah tersebut, membuat pengambaran sebagai bukti kepada kajian dan membuat soal selidik untuk mengenal pasti setakat mana pengetahuan responden.

3.4 Populasi dan Sampel Kajian

Pemilihan sampel mestilah mengikut syarat kebarangkalian iaitu setiap ahli sampel mewakili setiap ahli populasi atau mempunyai ciri-ciri yang agak sama dengan populasi yang lain. Pengkaji memilih pelajar UTeM sebagai sampel untuk menjalankan kajian ini.

3.5 Instrumen Kajian

Komponen utama dalam instrument ialah item-item atau soalan yang boleh merangsang atau mendapat maklum balas. Instrumen yang baik haruslah mengikut objektif kajian. Oleh kerana kaedah kajian ini berbentuk gabungan kualitatif dan kuantitatif maka penggunaan borang soal selidik adalah lebih mudah dan efektif. Penggunaan borang soal selidik merupakan antara alat-alat pengumpulan data yang banyak digunakan oleh pengkaji kerana soal selidik dapat mengumpul data secara terperinci, tersusun dan piawai. Di samping itu juga instrumen ini menjimatkan masa, tenaga dan kos semasa pengumpulan data.

3.6 Analisis Data

Analisis data yang digunakan oleh pengkaji ialah analisis temu bual. Analisis ini memerlukan pengkaji berinteraksi dengan pakar tentang seni bina bangunan ini. Bertanyakan kepada pakar mengenai kepakaran mereka mempunyai beberapa kelebihan antaranya ia mudah difahami oleh pengkaji. Menyediakan soal selidik yang telah direka bentuk dengan baik, ia lebih mudah untuk dianalisis dan menterjemahkan maklumat berkenaan. Walau bagaimanapun terdapat juga kelemahan berkaitan analisis temu bual anataranya pengkaji perlu mengetahui soalan yang perlu ditanya. Ini akan menjadi rumit sekiranya pengkaji mempunyai ilmu yang sedikit di dalam kepakara yang perlu dikaji.


4.0: Hasil Kajian dan Perbincangan

Seni bina di Malaysia merangkumi pelbagai bentuk dan ciri yang tersendiri untuk menjadikan sesuatu seni bina tersebut menarik dan mempunyai pelbagai elemen menarik.

Melalui kajian yang telah dijalankan, didapati tidak semua rakyat Malaysia yang memahami struktur bentuk seni bina di Malaysia lebih-lebih lagi mengenai seni bina bangunan bersejarah. Dalam bahagian ini, pengkaji akan menyatakan hasil yang diperolehi daripada analisis yang dijalankan di kawasan kajian serta penilaian melalui kaedah soal selidik dengan melihat perbezaan purata peratusan respondan.

Borang soal selidik ini meliputi dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A meliputi maklumat latar belakang respondan, manakala Bahagian B meliputi pemahaman respondan mengenai seni bina.


Jadual 4.2.1: Jadual taburan respondan berdasarkan jantina dan pekerjaan


Rajah 4.2.2: Carta Palang Taburan Responden mengikut jantina dan pekerjaan


Rajah 4.2.3: Jadual taburan responden mengikut kafahaman seni bina mengikut kawasan kajian yang dipilih


Rajah 4.2.3: Carta Palang taburan responden mengikut kafahaman seni bina mengikut kawasan kajian yang dipilih


Melalui soal selidik yang dijalankan, kami memilih 30 orang responden di antaranya pelajar UTeM sendiri, kakitangan awam dan kakitangan swasta. Hasil daripada kajian yang dijalankan, peratusan rakyat Malaysia yang memahami ciri-ciri seni bina di negara adalah sedikit. Daripada 30 orang responden, hanya 12 orang sahaja yang memahami sepenuhnya mengenai seni bina di Malaysia, khususnya di Melaka.


5.0 Kesimpulan Kajian

Daripada hasil kajian dan analisis data yang dijalankan maka dapatlah dibuat kesimpulan bahawa pengetahuan pelajar dan staf tentang seni bina sejarah ini kurang kerana berdasarkan kajian yang dibuat pelajar-pelajar lebih gemar melawat tempat-tempat yang tidak berunsurkan sejarah. Berdasarkan daripada graf yang dibuat purata yang mempunyai kefahaman yang tinggi ialah dalam kalangan pelajar berbanding dengan staf manakala kefahaman purata yang tertinggi bagi katogeri seni bina yang disenaraikan menunjukkan bangunan Memorial Pengisyitiharan Kemerdekaan adalah yang tertinggi.

Walaupun pengetahuan pelajar tentang seni bina sejarah ini lebih tinggi daripada staff, namun purata peratusan pengetahuan tentang seni bina ini haruslah seimbang. Harapan sebagai pengkaji ialah pengetahuan tentang seni bina sejarah ini haruslah diterapkan kepada semua individu. Sampel yang dipilih dalam kajian ini hanya melibatkan pelajar dan staf UTeM sendiri. Pengkaji mencadangkan agar kajian seumpama ini dapat diperluaskan ke sampel yang lebih ramai dengan melibatkan pelbagai institusi pengajian tinggi awam atau swasta supaya hasil dapatan kajian ini akan lebih menyeluruh.




MZ Zainudin, Rozilah Azizan, Lim Lih Jian, Anis Mastura Mohd Rodzi, Hafiza Abd. Razzak, Rashidah Dawood, Nur Fakhira Ismail

No comments:

Post a Comment